Selasa, 15 Mac 2011

TUGAS HAKIKI, KOMPETENSI, DAN KPI ANTARA ELEMEN DALAM SISTEM PENILAIAN BARU -JPA

Bernama


14/3/2011



KUCHING, 14 Mac (Bernama) -- Sistem penilaian baru bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) mulai 1 Julai ini akan menilai semua penjawat awam berdasarkan jenis perkhidmatan dan tugas hakiki masing-masing.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata di bawah format baru itu, calon juga akan dinilai berdasarkan kompetensi dan elemen Petunjuk Prestasi Utama (KPI) individu berkenaan.
"Sistem penilaian baru ini tidak seperti konsep 'seragam untuk semua' yang digubal serta digunakan oleh semua jabatan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersama Anggota Perkhidmatan Awam dan Negeri Sarawak, di sini, Isnin.
Abu Bakar berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang dalam peringkat pengolahan format baru itu dengan mendapatkan input dan maklum balas dari Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Katanya proses menggubal format baru itu sedang berjalan lancar dan yakin kaedah baru penilaian penjawat awam dapat dilaksanakan dengan lebih teratur mulai 1 Julai ini.
"Sejajar dengan usaha kerajaan mentransformasikan perkhidmatan awam, kami perlu mengenali struktur kompleks perkhidmatan awam. Kita perlu semua jenis pendekatan bagi menyesuaikan keunikan perkhidmatan yang sedia ada," katanya.
Perjumpaan itu dihadiri oleh lebih 2,000 penjawat awam dari jabatan dan badan berkanun peringkat persekutuan dan negeri.
Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohammad Morshidi Abdul Ghani dan Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Yahaya Basimin.
Ujian PTK, yang diperkenalkan dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM) mulai 1 Nov 2002, mengundang pelbagai kontroversi dan persoalan kerana dikatakan ramai penjawat awam yang berpengalaman sukar menikmati kenaikan pangkat.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika membentangkan Bajet 2011 pada Oktober lepas, mengumumkan pemansuhan PTK dan digantikan dengan sistem penilaian baru yang lebih sesuai dan diterima baik oleh penjawat awam.





Cuepacs Minta K'jaan Selaras Gaji Dengan Kenaikan Harga Barang

MELAKA: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan meminta kerajaan supaya membuat pelarasan kenaikan gaji berikutan kenaikan harga barang yang dilihat telah menjejaskan penjawat awam bergaji rendah.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, kali terakhir pelarasan dibuat ialah empat tahun lepas.
"Kita mendapat keluhan dari kakitangan awam yang berpendapatan sederhana dan rendah yang bergaji RM3,500 ke bawah. Semasa kita minta kenaikan selepas 1 Julai 2007, harga barang OK tetapi selepas kenaikan gaji, harga naik mendadak 100 peratus.
"Ini yang kita nak seimbangkan semula penyelarasan berdasarkan kenaikan harga barang semasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) Alternatif, di sini, Selasa.
Beliau berkata perkara tersebut akan dibincang oleh Cuepacs bulan depan.
"Kita dah maklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi secara tidak rasmi," tambahnya.
Omar memberitahu terdapat penjawat awam sekarang terpaksa membuat kerja sampingan bagi menambahkan pendapatan.
"Kita tak mahu penjawat awam memikirkan sangat kerja sampingan supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada kerja hakiki dan supaya nak mengelakkan perkara yang tidak diingini yang akan menjejaskan kerja mereka," katanya.
Beliau juga menyedari bahawa apabila berlaku pelarasan gaji, maka peniaga akan mengambil kesempatan daripadanya dengan serta merta menaikkan harga barang.
Dalam perkembangan lain, beliau berharap JPA dapat menyemak semula seramai 30 peratus kakitangan kerajaan dari gred 1 hingga gred 40 yang telah mencapai gaji maksimum, supaya dapat dinaikkan gred mereka kepada gred yang baru mengikut kelayakan mereka yang lebih sesuai.
"Ini supaya kita nak elakkan ramai kakitangan kerajaan duduk di tangga gaji yang maksimum. Bila gaji dah maksimum secara tidak langsung prestasi dan produktiviti mereka akan mula terjejas kerana gaji mereka sudah mati (sampai had)," katanya.
Beliau berkata, di bawah sistem penilaian baru kelak yang menggantikan PTK, fokusnya ialah untuk membanyakkan peluang kenaikan pangkat di samping memansuhkan sistem gaji tiga lapis seperti yang ada sekarang iaitu P1, P2 dan P3 di bawah Skim Saraan Malaysia (SSM) yang telah berjalan selama lapan tahun.
"Kita mahu sistem gaji satu baris tanpa maksimum. Selagi dia (penjawat awam) berkhidmat, selagi itu gaji dia boleh naik. Baru boleh motivasi diri mereka untuk kerja kuat," katanya.
Mengenai kes bankrap di kalangan penjawat awam, Omar berkata sehingga tahun lepas hampir 3,000 orang terlibat dengan kes bankrap yang kebanyakannya kerana membuat pinjaman kenderaan.
"Ramai penjawat awam terlalu mudah mendapatkan pinjaman apabila disogokkan oleh pihak tertentu tanpa perlu membayar deposit. Sepatutnya ia tidak berlaku," katanya. - BERNAMA