Jumaat, 24 Disember 2010

KERAJAAN PERLU KURANGKAN JUMLAH PENJAWAT AWAM

Bernama


21/12/2010



KUALA LUMPUR 20 Dis. - Kerajaan perlu mengurangkan jumlah pengambilan penjawat awam selain mencari jalan meningkatkan produktiviti kerja golongan itu bagi mencapai status negara maju menjelang 2020.
Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Ghauth Jasmon berkata, berdasarkan jumlah rakyat negara ini yang dianggap masih belum terlalu ramai, kadar penjawat awam di negara ini adalah tinggi berbanding kadar di negara maju.
"Malaysia mempunyai 1.2 juta kakitangan awam sedangkan rakyatnya cuma kira-kira 28 juta. Bandingkan pula dengan Korea Selatan yang mempunyai 48 juta rakyat tetapi hanya mempunyai dua juta penjawat awam.
"Begitu juga dengan Jerman yang hanya mempunyai dua juta kakitangan awam untuk 82 juta rakyatnya dan Jepun dengan hanya 4,449,900 penjawat awam berbanding 126,804,433 rakyat mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Seminar Pendidikan Sempena Konvensyen Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Ke-25 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
Hadir sama Presiden Cuepacs, Omar Osman serta dua timbalannya, Azih Muda dan Husain Mohd. Yasin.
Beliau berkata, jika pengurangan kakitangan dan peningkatan produktiviti dilakukan, ia mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan selain mempercepatkan proses kemajuan negara.
"Di negara-negara maju hari ini, kebanyakan rakyatnya rajin bekerja dan melakukan tugas secara 'pelbagai kerja'. Melalui cara itu, kerajaan boleh menjimatkan perbelanjaan walaupun mungkin terpaksa membayar lebih sedikit kepada seseorang kakitangan awam kerana beban kerjanya bertambah.
"Produktiviti pula berkait rapat dengan sikap rakyat itu sendiri. Jika di negara maju, para eksekutifnya hanya akan pulang pada pukul 10 malam sementara profesor dan mahasiswa universiti pula akan pulang selewat 12 malam. Budaya rajin bekerja ini yang perlu kita bentuk," katanya.

TENAGA MAHIR: KITA MASIH KETINGGALAN

Utusan Malaysia


21/12/2010

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

dan FARIZ FIKRI ZOLKARNAIN

pengarang@utusan.com.my





KUALA LUMPUR 20 Dis. - Jumlah tenaga kerja mahir di Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding negara maju di seluruh dunia.
Timbalan Pengarah Seksyen Ekonomi Makro, Jabatan Perdana Menteri, Alaudin Anuar berkata, statistik Jabatan Perangkaan tahun lalu, menunjukkan hanya 28 peratus tenaga kerja tempatan dalam kumpulan pekerjaan berkemahiran tinggi berbanding kelaziman 60 peratus bagi negara maju.
Katanya, tenaga kerja selebihnya pula, hanya memiliki pendidikan asas selama 11 tahun iaitu sehingga ke tahap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dengannya.
"Disebabkan itu, beberapa rombakan dibuat dalam sistem pendidikan awal seperti memperluaskan program Permata dan mengintegrasikan ke dalam Kementerian Pelajaran selain meningkatkan pendaftaran prasekolah kepada 87 peratus pada 2012 dan 92 peratus pada 2015 sebagai sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
"Program Pembangunan Prestasi Sekolah turut diperkenalkan di samping mewujudkan 100 sekolah berprestasi tinggi pada 2012 untuk meningkatkan piawaian sekolah ke peringkat antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ceramah bertajuk Dasar Model Baru Ekonomi pada Seminar Pendidikan Sempena Konvensyen Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden CUEPACS, Omar Osman ketika ditemui Utusan Malaysia memberitahu, pihaknya memang mengetahui mengenai masalah tersebut dan mengadakan perbincangan mengenainya.
Menurutnya, tidak ramai individu berkemahiran yang mahu bekerja dengan kerajaan kerana lebih tertarik dengan tawaran gaji lumayan oleh syarikat-syarikat swasta.
"Tidak saya nafikan, faedah-faedah tertentu seperti perubatan dan pencen merupakan jaminan dalam perkhidmatan awam. Tetapi ia tidak cukup untuk menarik lebih ramai kakitangan berkemahiran bersama kita.
"Jururawat-jururawat berkualiti kita contohnya, banyak yang ke luar negara. Doktor juga sekiranya diberi kelonggaran untuk berkhidmat dengan hospital swasta, pasti ramai yang beralih arah," tegas beliau lagi.

Ahad, 28 November 2010

SKIM PERKHIDMATAN KUMPULAN PARAMEDIK AKAN DIKAJI SEMULA - ROSNAH

Bernama
27/11/2010


KOTA KINABALU, 27 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan bercadang untuk mengkaji semula skim perkhidmatan kumpulan paramedik seperti pembantu pembedahan pergigian dan pembantu perawatan kesihatan, pada tahun depan.Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata selain itu, turut dikaji ialah pewujudan insentif bagi menarik minat anggota kementerian tersebut berkhidmat dengan klinik bergerak IMalaysia, yang dijangka dilancarkan 9 Dis ini.

Bagaimanapun, penetapan gaji untuk penjawat awam yang bertugas di kementerian itu adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam, katanya dalam satu kenyataan.Beliau mengulas kenyataan pengerusi DAP Sabah Dr Hiew King Che, yang juga anggota Parlimen Kota Kinabalu yang meminta Kementerian Kesihatan mengkaji semula gaji penjawat awam di kementerian itu.Rosnah berkata pada tahun ini sahaja, lima kajian penambahbaikan skim perkhidmatan telah dipersetujui kerajaan, termasuk jawatan bidan ditawarkan ke skim perkhidmatan jururawat masyarakat dan pembantu hospital rendah ke skim perkhidmatan pembantu tadbir (perkeranian/operasi).
Selain itu, beliau berkata kerajaan turut meluluskan bayaran insentif penempatan Sabah, Sarawak atau Labuan dan bayaran insentif perumahan Sabah, Sarawak atau Labuan, selain memanjangkan kemudahan perubatan kepada pegawai bukan warga negara yang dilantik secara kontrak, berkuat kuasa 1 Julai lepas.Katanya, laluan kerjaya yang lebih baik juga diperkenalkan tahun ini untuk pegawai perubatan, pergigian dan farmasi.-- BERNAMA