Khamis, 18 Februari 2010

CUEPACS TUNTUT KERJA LEBIH MASA DIBAYAR TUNAI

Bernama


11/2/2010


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut kakitangan awam diberi bayaran tunai untuk kerja lebih masa berbanding diberi cuti rehat. Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata hampir 50,000 kakitangan sokongan dari pelbagai jabatan kerajaan dan badan berkanun diberi cuti rehat untuk kerja lebih masa sejak Disember tahun lalu. Katanya, untuk setiap lapan jam kerja lebih masa mereka akan diberi satu hari cuti.

"Kami menganggap ia satu ekspoitasi, dan mahu kerajaan membuat tindakan segera untuk menghentikan amalan ini kerana ia akan melunturkan semangat pekerja dan menjejaskan produktiviti mereka," katanya kepada Bernama. Beliau berkata, Cuepacs akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, untuk menyelesaikan isu itu. Bernama difahamkan langkah sedemikian dilaksanakan untuk "mengurangkan kos" dan juga untuk "meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan" jabatan berkenaan.

Seorang ketua jabatan berkata, sasaran kerja kini adalah lebih tinggi dan memerlukan kerjasama kakitangan untuk bekerja lebih masa. Katanya, disebabkan peruntukan untuk kerja lebih masa tidak mencukupi, jabatan memperkenalkan sistem menawarkan cuti. "Kecuali untuk beberapa orang pekerja, kebanyakan daripada mereka bersetuju dengan peraturan itu kerana mahu mencapai sasaran kerja yang ditetapkan dan meningkatkan sistem penyampaian sejajar dengan dasar kerajaan sekarang," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan