Khamis, 20 Mei 2010

INSENTIF PEKERJA CEMERLANG TINGKAT MUTU KHIDMAT AWAM

Berita Harian


Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed

2010/05/19

KETIKA berucap pada majlis Perhimpunan Penjawat Awam 2010, minggu lalu, Datuk Seri Najib Razak, memberi penekanan kepada perlunya masyarakat mengiktiraf prestasi luar biasa penjawat awam dan jabatan kerajaan. Pastinya ini berita gembira kepada lebih 1.2 juta penjawat awam yang begitu mendambakan pengiktirafan dan insentif sewajarnya selama ini. Kesungguhan Najib ternyata ada asas kerana sistem pengiktirafan dan penghargaan terhadap jabatan kerajaan mahupun penjawat awam secara individu setakat ini boleh dikatakan agak sempit dan semakin lapuk. Kita masih di takuk lama dalam soal pemberian ganjaran kepada penjawat awam.

Komitmen dan tekad Perdana Menteri sebenarnya selaras amalan di negara maju yang mengiktiraf kemampuan dan kemahiran luar biasa di samping ketinggian ilmu dimiliki pekerjanya. Biasanya gaji dan insentif eiterima setimpal kebolehan serta sumbangan masing-masing. Amalan ini berlaku dalam sektor swasta yang tidak terlalu terikat dengan prosedur. Majikan memberi peluang kenaikan pangkat dan gaji pekerja cemerlang di samping bonus tahunan menarik kepada semua pekerja jika prestasi syarikat cemerlang.

Perkara ini tidak berlaku dalam sektor awam yang masih terikat pelbagai prosedur yang tidak membolehkan seorang ketua menaikkan pangkat seseorang penjawat awam cemerlang dan berprestasi luar biasa apatah lagi memberi insentif dalam bentuk wang ataupun naik gaji. Penjawat awam secemerlang mana sekalipun tetap perlu menunggu kekosongan jawatan kenaikan pangkat untuk memohon. Mereka pula perlu berdepan persaingan hebat sesama rakan sejawat kerana bilangan jawatan kenaikan pangkat terhad berbanding ramainya jumlah pemohon. Ada perlu menunggu sehingga 15 tahun untuk naik pangkat ke gred lebih tinggi secara Khas Untuk Penyandang (KUP). Akibatnya ramai yang cemerlang dan berprestasi luar biasa gagal mendapat pengiktirafan sewajarnya. Ditambah pula dengan kekangan membayar insentif kewangan secara tunai atau kenaikan gaji berdasarkan kecemerlangan kerja. Penjawat awam pada masa ini mengharapkan insentif kewangan berjumlah RM1,000 melalui Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) setahun sekali yang turut terhad kepada jumlahnya. Isu pengiktirafan dan penghargaan adalah dua perkara yang cukup penting dalam konteks meningkatkan motivasi pekerja. Kedua-duanya dilihat masih boleh diperbaiki dalam sektor awam. Fenomena ini dikatakan antara punca profesional seperti doktor lebih cenderung bekerja di sektor swasta atau berhijrah ke negara yang menjanjikan ganjaran lebih lumayan. Jika berhasrat menjadikan perkhidmatan awam sebagai menarik, eksklusif dan jadi rebutan kalangan profesional maka kerajaan perlu melakukan transformasi drastik mengikut peredaran zaman dan tuntutan keperluan semasa. Oleh itu, tiba masanya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memikirkan kaedah lebih sesuai untuk membuka lebih banyak peluang kenaikan pangkat tanpa perlu menunggu kekosongan jawatan dan mencari jalan memberi insentif melalui kenaikan gaji ataupun bonus secara tetap kepada penjawat awam yang cemerlang dan luar biasa. Selain mempertimbangkan sedalam-dalamnya tuntutan Cuepacs supaya membuat semakan gaji secara menyeluruh, perkhidmatan awam dicadang mewujudkan skim insentif khas yang mungkin boleh dikenali sebagai Skim Insentif Pekerja Cemerlang bagi mengiktiraf penjawat awam dan jabatan kerajaan yang berprestasi cemerlang serta luar biasa. Skim ini perlu berbentuk skim yang lebih terbuka dari segi peraturan mahupun prosedur dengan memperuntukkan peluang kenaikan pangkat dan gaji secara terbuka pada bila-bila masa apabila seseorang penjawat awam didapati menunjukkan prestasi luar biasa dan membantu jabatan mencapai prestasi cemerlang. Penilaian pemberian insentif melalui skim khas ini boleh dibuat berdasarkan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) staf dan jabatan berkenaan. Staf yang mencapai sasaran ataupun KPI ditetapkan dengan cemerlang, boleh terus diberi ganjaran dalam bentuk wang mahupun naik pangkat. JPA perlu memperluaskan sistem serupa yang diumumkan kepada guru; untuk penjawat awam lain. Melalui skim guru itu, semua pengetua, guru besar dan guru layak menerima wang ganjaran sehingga RM7,500 tiap seorang jika berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing mencapai sasaran KPI ditetapkan Kementerian Pelajaran. Penjawat awam lain wajar menikmati sistem seperti ini. Justeru, jabatan kerajaan banyak mempermudahkan urusan rakyat serta mendapat pengiktirafan dan pujian masyarakat diberi imbuhan setimpal. Keperluan mewujudkan skim ini juga kerana semakan gaji semata-mata masih tidak mampu mengiktiraf sepenuhnya sumbangan penjawat awam sepanjang masa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan