Khamis, 19 Ogos 2010

Kerja lebih masa ikut peruntukan

Oleh Azrina Ahzan


2010/08/19

PUTRAJAYA: Semua ketua jabatan diarah memastikan arahan bekerja lebih masa dikeluarkan kepada pegawainya hanya apabila sesuatu tugas itu benar-benar perlu dilaksanakan mengikut peruntukan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 1991, arahan bekerja lebih masa hanya boleh dikeluarkan apabila keadaan memerlukan pegawai terbabit berbuat demikian. Antaranya, kerja kecemasan yang membabitkan pemulihan gangguan perkhidmatan, kerja penting yang tidak boleh ditangguhkan kerana khuatir boleh menjejaskan perkhidmatan, kerja yang perlu dilakukan seseorang pegawai melebihi bidang tugasnya dan kerja yang perlu diuruskan dalam jangka masa terhad. Mengikut Perintah Am 11 Bab G, pegawai boleh diarah bekerja lebih daripada masa bekerja biasa yang ditetapkan dan mereka boleh diberi bayaran lebih masa atau cuti gantian jika mereka mempunyai sembilan jam tempoh bekerja lebih masa.

Bagaimanapun, ketua jabatan perlu memastikan arahan bekerja lebih masa dikeluarkan bila sesuatu tugas itu benar-benar perlu dilakukan.

Mereka juga perlu memastikan jabatan mempunyai peruntukan kewangan mencukupi bagi membayar bayaran lebih masa, katanya dalam surat edaran bertarikh 11 Ogos lalu yang dipaparkan di laman web jabatan itu, semalam.

Surat edaran itu bertujuan memberi penjelasan mengenai keperluan bekerja lebih masa dikeluarkan ketua jabatan kerajaan yang sejak kebelakangan ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pegawai terbabit.

Ada kes apabila pegawai yang diarah melakukan kerja lebih masa tidak dibayar bayaran kerana kekangan peruntukan kewangan, sebaliknya diberi kemudahan cuti gantian.

Malah, Februari lalu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dilaporkan menuntut kakitangan awam diberi bayaran tunai untuk kerja lebih masa berbanding cuti rehat.

Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin dilaporkan berkata, hampir 50,000 kakitangan sokongan pelbagai jabatan kerajaan dan badan berkanun diberi cuti rehat untuk kerja lebih masa sejak Disember tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan