Jumaat, 24 Disember 2010

LOKE YIM PHENG TARIK DIRI TANDING JAWATAN MTUC

Berita Harian


Oleh S Anand Kumar

2010/12/24

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung CUEPACS, Lok Yim Pheng menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk memberi tumpuan kepada jawatan barunya itu.

Yim Pheng yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memberitahu Berita Harian semalam, beliau juga sudah memaklumkan perkara itu kepada Ibu Pejabat MTUC, minggu lalu.

Sebelum ini saya mengemukakan pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden MTUC, tetapi pada minggu lalu sebelum berlangsung Konvensyen Tritahunan ke-25 CUEPACS, saya membuat keputusan menarik diri daripada bertanding.

Saya perlu memberi fokus kepada jawatan baru (Setiausaha Agung CUEPACS) dan ia juga janji kepada perwakilan yang memilih saya untuk jawatan berkenaan, katanya semalam.

Pemilihan tertinggi MTUC dijadualkan berlangsung dua hari bermula Selasa depan dan Yim Pheng menerima 14 pencalonan daripada pelbagai kesatuan sekerja untuk jawatan timbalan presiden.

Pada konvensyen kesatuan sekerja itu semalam, Yim Pheng menerima 468 undi untuk jawatan Setiausaha Agung CUEPACS dalam persaingan tiga penjuru menewaskan penyandangnya, Ahmad Shah Mohd Zin (263) dan seorang lagi calon, Ku Azmi Ku Ibrahim (278).

Sementara itu, Presiden Kesatuan Kakitangan Am MARDI, Ramli Omar yang tewas kali ketiga merebut jawatan Presiden CUEPACS, berkata beliau tidak sedih atas kekalahannya sebaliknya mengharapkan kepemimpinan baru akan terus berjuang untuk anggota sektor awam.

Setiap pemimpin yang bertanding apa-apa jawatan mempunyai visi tersendiri. Begitu juga saya dan tidak mengapa saya kalah dalam perebutan jawatan Presiden CUEPACS kali ini.

Ini percubaan terakhir saya kerana pada konvensyen CUEPACS akan datang saya tidak akan bertanding kerana bersara tahun depan, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan