Rabu, 12 Januari 2011

Skim Perkhidmatan Kumpulan Paramedik Akan Dikaji Semula: Rosnah

BERITA
Sabtu November 27, 2010
Skim Perkhidmatan Kumpulan Paramedik Akan Dikaji Semula: Rosnah
KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan bercadang untuk mengkaji semula skim perkhidmatan kumpulan paramedik seperti pembantu pembedahan pergigian dan pembantu perawatan kesihatan, pada tahun depan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata selain itu, turut dikaji ialah pewujudan insentif bagi menarik minat anggota kementerian tersebut berkhidmat dengan klinik bergerak IMalaysia, yang dijangka dilancarkan 9 Disember ini.

Bagaimanapun, penetapan gaji untuk penjawat awam yang bertugas di kementerian itu adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam, katanya dalam satu kenyataan, Sabtu.

Beliau mengulas kenyataan pengerusi DAP Sabah Dr Hiew King Che, yang juga anggota Parlimen Kota Kinabalu semalam, yang meminta Kementerian Kesihatan mengkaji semula gaji penjawat awam di kementerian itu.

Rosnah berkata pada tahun ini sahaja, lima kajian penambahbaikan skim perkhidmatan telah dipersetujui kerajaan, termasuk jawatan bidan ditawarkan ke skim perkhidmatan jururawat masyarakat dan pembantu hospital rendah ke skim perkhidmatan pembantu tadbir (perkeranian/operasi).

Selain itu, beliau berkata kerajaan turut meluluskan bayaran insentif penempatan Sabah, Sarawak atau Labuan dan bayaran insentif perumahan Sabah, Sarawak atau Labuan, selain memanjangkan kemudahan perubatan kepada pegawai bukan warga negara yang dilantik secara kontrak, berkuat kuasa 1 Julai lepas.

Katanya, laluan kerjaya yang lebih baik juga diperkenalkan tahun ini untuk pegawai perubatan, pergigian dan farmasi. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan