Jumaat, 12 Oktober 2012

SURUHANJAYA KHAS KAJI TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM KEMUKA LAPORAN DISEMBER



Bernama
11/10/2012
MELAKA, 10 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam akan mengemukakan laporan lengkap berhubung cadangan penambahbaikan perkhidmatan awam kepada Kabinet akhir tahun ini.

Pengerusinya Tun Zaki Tun Azmi berkata suruhanjaya itu kini sedang melakukan lawatan mengejut ke jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan bagi melihat mutu perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai serta memahami situasi yang dihadapi rakyat ketika berurusan dengan sektor awam.

"Bukan kita nak cari salah, masalah tetapi untuk memahami keadaannya, dengan memahami keadaan ini mungkin kita boleh memperbetulkan dan memperbaiki kelemahan yang terdapat di tempat ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini, Rabu.

Turut menyertai lawatan itu, beberapa anggota suruhanjaya itu termasuk bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

Zaki berkata pihaknya yang melakukan lawatan ke sektor awam di Sarawak dan Sabah pada Ogos dan Sept lepas, hari ini mengadakan lawatan ke Pejabat Daerah Sepang, Ibu pejabat Polis Daerah Sepang di Selangor; Klinik 1Malaysia Rasah dan Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan selain UTC Melaka.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan